Isu Muzakarah UMNO & PAS
Posted in Artikel, Bersatu, Politik
BUKAN AGENDA POLITIK
Utusan Malaysia 20 Julai 2008
ISU mengenai muzakarah UMNO dan Pas timbul lagi. Segalanya bermula apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk duduk semeja berbincang dengan UMNO dalam soal memperjuangkan hak kepentingan Melayu dan umat Islam di negara ini.
Kesediaan Pas itu semakin mendapat perhatian apabila Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa dalam soal Melayu dan Islam, UMNO bersedia bersama-sama berbincang dengan Pas.
Tetapi persoalannya, apakah hasrat murni itu akan mencapai kejayaan? Adakah kali ini muzakarah berkenaan akan menjadi kenyataan atau ia sekali lagi hanya tinggal impian?
Untuk menghuraikan semua persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR menemui dua pemimpin muda dalam UMNO dan Pas iaitu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.
Dalam pertemuan berasingan di bangunan Parlimen, pada Khamis lalu, kedua-dua tokoh muda ini menyambut baik usaha untuk mengadakan muzakarah berkenaan.
Bagi Hishammuddin dan Salahuddin, mereka sepakat bahawa muzakarah ini perlu diadakan dengan hati yang ikhlas tanpa sebarang syak wasangka termasuklah juga kononnya usaha tersebut dilakukan kerana UMNO semakin lemah.
Jika Hishammuddin menegaskan bahawa ideologi politik bukan kekangan, Salahuddin pula berpendapat muzakarah berkenaan tidak harus memberi isyarat yang salah kepada rakyat bahawa akan berlaku perkongsian kuasa antara kedua-dua parti itu.
Sebaliknya bagi mereka, apa yang penting dalam memperjuang dan mempertahankan orang Melayu serta umat Islam, UMNO dan Pas harus berada dalam satu barisan.
MINGGUAN: Apa pandangan Datuk Seri berhubung muzakarah antara UMNO dan Pas?
HISHAMMUDDIN: Dalam hal-hal berhubung kait dengan kepentingan orang Melayu dan umat Islam ada perkara-perkara yang perlu merentasi kepentingan politik dan peribadi malah perasaan syak wasangka.
Ini kerana apa yang kita lakukan hari ini akan menentukan kedudukan anak-anak Melayu pada masa akan datang. Apabila terbuka ruang-ruang untuk orang Melayu berbincang dan bermuzakarah dalam hal-hal yang dianggap tidak harus dipolitikkan atau dipolemikkan kita sudah tentu mengalu-alukannya.
Atas sebab itulah Kementerian Pelajaran, dalam apa juga tindakan dalam soal pendidikan terutamanya menyentuh orang Melayu dan Islam, saya sedaya upaya cuba menghapuskan perasaan syak wasangka ini.
Itulah yang berjaya dilakukan dalam kita mengambil alih Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kelantan.
Kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas yakin kepada kita bukan kerana politik atau kepentingan sekolah tetapi melihat tuduhan dan syak wasangka dahulu termasuk andaian kita hendak merampas kuasa, sebenarnya tidak berlaku. Semua ini mungkin menjadi salah satu sebab membuka hati mereka untuk bermuzakarah dengan UMNO.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pemuda UMNO.
Bagaimana bentuk muzakarah ini harus dilaksanakan?
HISHAMMUDDIN: Itu banyak bergantung kepada bidang yang hendak dibincangkan. Kalau ia berkisar kepada politik memanglah apa yang Tun Dr. Mahathir Mohamad sebut untuk mencari persamaan dari segi ideologi politik agak jauh dan sukar.
Tetapi dalam bidang-bidang lain terutamanya berhubung isu-isu berkaitan orang Melayu yang timbul sejak kebelakangan ini, semua itu sudah tentu memerlukan orang Melayu bersatu.
Penyatuan ini bukanlah untuk mengancam mana-mana kaum tetapi sekurang-kurangnya mempertahankan hak dan kedudukan kita. Kalau kita berpecah akhirnya apa yang kita laung demi kepentingan Melayu dan Islam itu tidak akan diambil endah oleh musuh-musuh kita.
Tetapi kalau kita bersatu dalam perkara-perkara pokok, sekurang-kurangnya orang akan tahu apabila menyentuh perkara yang dekat dengan jiwa orang Melayu, kita mampu bersatu dan ini satu mesej yang baik dan harus kita lakukan. Saya percaya tidak semua pemimpin Melayu tergamak menggadaikan apa sahaja untuk kedudukan peribadi.
Tindakan menggadaikan segala-galanya untuk mengejar jawatan atau mencapai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri hanya memberi kesan yang tidak baik kepada semangat orang Melayu dan persepsi orang bukan Melayu terhadap orang Melayu. Kita bukan minta apa yang lebih daripada hak kita dan dalam keadaan landskap politik keterbukaan yang berlaku sekarang, saya bimbang kalau kita tidak khuatir terhadap sesuatu perkara yang menyentuh kepentingan Melayu akhirnya kita tersepit di tanah air sendiri. Dan lebih buruk lagi kesedaran yang kita hendak berikan kepada orang Melayu akan gagal.
Apakah dalam menjayakan muzakarah ini perlu diwujudkan syarat-syarat tertentu?
HISHAMMUDDIN: Syarat-syarat merupakan pertimbangan semasa. Kalau syarat yang diletakkan itu tidak mengizinkan kita duduk berbincang hari ini tidak bermakna usaha kita tidak boleh diteruskan. Ini kerana langkah merapatkan orang Melayu dan umat Islam merupakan satu usaha yang berterusan. Kalau hari ini syarat tidak mengizinkan, mungkin esok keadaan akan berubah untuk membenarkan kita duduk semeja memikirkan perkara-perkara yang besar ini.
Selain itu, syarat-syarat kadang-kadang diwujudkan kerana situasi semasa, tuntutan politik semasa dan kedudukan politik masing-masing. Bagi saya apa yang lebih penting ialah niat yang jujur dan ikhlas untuk melihat orang Melayu sentiasa dihormati dan disegani oleh kawan dan lawan.
Maknanya kedua-dua parti harus mengenepikan ideologi politik masing-masing?
HISHAMMUDDIN: Untuk meminta masing-masing mengenepikan ideologi politik mereka semata-mata untuk duduk berbincang adalah tidak realistik. Dalam konteks untuk membincangkan perkara-perkara tertentu contohnya pendidikan, kedudukan orang Melayu dan Islam serta raja-raja Melayu, saya fikir perbezaan ideologi politik bukanlah satu kekangan.
Ini kerana perkara yang saya nyatakan itu adalah perkara asas yang perlu dikongsi bersama tidak kira daripada parti mana atau ideologi apa yang kita bawa.
Ada pandangan bahawa UMNO bercakap soal muzakarah ini selepas berada dalam keadaan terdesak berikutan keputusan pilihan raya umum lalu?
HISHAMMUDDIN: Itu saya tidak setuju kerana kalau itulah tanggapannya adalah lebih baik kita tidak berusaha untuk bermuzakarah. Ia disebabkan kalaulah kita hendak bermuzakarah dan duduk semeja biarlah hati kita ikhlas dan jujur serta hormat menghormati tanpa syak wasangka. kalau hari ini disebabkan persepsi atau ada berpendapat sebegitu mungkin masanya tidak sesuai untuk kita duduk semeja tetapi jangan sampai kita tutup peluang pada masa-masa akan datang.
Ini kerana saya tahu UMNO akan pulih dan kuat semula, ketika itu tidak ada sesiapa boleh menuduh UMNO terpaksa bermuzakarah bila kita dianggap lemah. Apa yang saya tengok UMNO masih lagi kuat dan sedang berusaha memulihkan kedudukannya. UMNO sedang merapatkan barisan. Saya percaya selepas pemilihan Disember nanti, kedudukan UMNO akan lebih kukuh dan tuduhan bahawa kita mahu bermuzakarah kerana kita lemah tidak akan wujud pada masa tersebut dan itulah masa paling sesuai untuk bermuzakarah.
Persoalannya sampai bilakah orang Melayu harus menunggu kedua-dua parti ini hendak bermuzakarah?
HISHAMMUDDIN: Apabila ia menyentuh soal masa depan orang Melayu dan kedudukan umat Islam, kita tidak boleh menetapkan masa dan tempoh kerana ia hanya dapat berjaya serta memberi kesan positif kalau semua pihak yang terlibat betul-betul rasa selesa, ikhlas dan tidak ada syak wasangka. Saya faham bukan mudah untuk mewujudkan suasana sebegitu tetapi saya yakin bila tiba masa sesuai, muzakarah berkenaan akan dapat diadakan. Kita tidak boleh paksa perkara-perkara sedemikian.
Bagi Pemuda UMNO sendiri, adakah pergerakan itu sanggup berbincang dengan Pemuda Pas dalam usaha membuka jalan ke arah muzakarah berkenaan?
HISHAMMUDDIN: Ini banyak bergantung kepada suasana dan senario parti-parti induk kita juga. Kalau sayap sahaja duduk berbincang tetapi parti induk masih lagi belum sampai ke tahap keselesaan dan kefahaman ia tidak akan ke mana. Jadi saya tengok walaupun kita wujud hubungan yang sentiasa menjurus ke arah kemungkinan tetapi akhirnya tunjuk ajar mesti datang daripada parti induk.
Pas masih lagi mengungkit ditipu suatu ketika dulu semasa berada dalam BN?
HISHAMMUDDIN: Biarlah begitu tanggapan mereka kerana kita juga boleh mengungkit perkara-perkara yang lalu. Tetapi sebagai pemimpin muda dalam UMNO, kita tidak boleh melihat ke belakang kerana senario, pemimpin dan pegangan kita sudah berubah.
Jadi kita kena tengok apa juga insentif yang kita hendak buat dalam suasana hari ini. Sekarang merupakan waktu yang wajar untuk bermuzakarah tetapi kalau masih lagi ada syak wasangka dan masih memikirkan perkara dulu, kita tidak ada masalah untuk menangguhkannya buat seketika.
Apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu membangunkan keyakinan dan ia hanya boleh dilaksanakan bukannya dari segi retorik atau mengundur ke belakang. Ini kerana tidak ada mana-mana pihak yang cuba mendapatkan kelebihan politik melalui muzakarah tersebut sebaliknya yang untung ialah orang Melayu, kalau itulah yang menjadi pegangan, saya percaya ia tidak ada masalah.
Datuk Nik Abdul Aziz mahu pihak ketiga terlibat dalam muzakarah ini kerana bimbang Pas diperangkap?
HISHAMMUDDIN: Pada pandangan saya, tidak perlulah pihak ketiga dilibatkan. Ini kerana asas perjumpaan atau muzakarah tersebut ialah keikhlasan yang perlu wujud di antara kedua-dua pihak. Sekiranya muzakarah ini benar-benar akan wujud, ia akan berlaku dengan sendirinya sama ada ketika itu pihak ketiga ada atau tidak. Oleh itu apa yang lebih penting ialah keikhlasan bukannya soal pihak ketiga. Kalau kedua-dua pihak ikhlas dan benar-benar mementingkan perjuangan bagi mempertahankan hak orang Melayu dan Islam sudah pasti kita tidak memerlukan pihak ketiga. Percayalah.
Kesimpulannya UMNO sedia menanti untuk bermuzakarah?
HISHAMMUDDIN: Saya bukanlah berada pada kedudukan untuk bercakap bagi pihak UMNO tetapi dari segi Pemuda, apa sahaja yang baik untuk orang Melayu dan umat Islam kita sudah tentu sentiasa mengalu-alukannya dan kalau tidak jadi kita akan sentiasa menunggu. Kalau ia berlaku dalam masa terdekat syukur kepada Allah tetapi kalau ia mengambil masa, kita setia menanti kerana perjuangan untuk orang Melayu dan umat Islam di negara ini merupakan satu agenda yang berterusan.
Apakah harapan Datuk Seri terhadap pemimpin UMNO dan Pas dalam soal ini?
HISHAMMUDDIN: Saya berharap semua pemimpin UMNO dan Pas melihat keadaan landskap orang Melayu selepas pilihan raya dan pengaruh Internet, satelit serta kabel televisyen yang kesemuanya ini menjadi tanda tanya mengenai kedudukan umat Islam dan orang Melayu dalam konteks baru.
Ertinya, kita perlu melakukan penyesuaian berikutan perkembangan yang berlaku termasuklah dari segi hak bersuara dan keterbukaan media. Saya bimbang kalau kita tidak meletakkan had dan gagasan kita serta hanya melihat demokrasi dalam konteks barat ia boleh mengakibatkan kedudukan orang Melayu dan Islam terjejas.
Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda Pas.
Apa pandangan Yang Berhormat (YB) berhubung usaha untuk mengadakan muzakarah antara Pas dan UMNO?
SALAHUDDIN: Muzakarah ini pada prinsipnya bukanlah satu mukadimah kepada perkongsian kuasa politik Pas dan UMNO. Ia mestilah memfokuskan kepada agenda kepentingan rakyat jika kita benar-benar ikhlas untuk bermuzakarah.
Sebenarnya muzakarah bukanlah perkara yang baru bagi Pas. Sebaliknya ia menjadi budaya parti kami dalam membincangkan sesuatu perkara atau isu dengan sesiapa pun.
Sebagai contoh pada tahun 2004, sebagai Ketua Pemuda, saya telah menghantar empat pucuk surat kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang diketuai oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membolehkan satu muzakarah atau perbincangan secara terbuka diadakan.
Ia mengandungi beberapa isu yang saya anggap penting untuk dibincangkan sama ada ia melibatkan kepentingan negara, umat Islam dan orang Melayu.
Antara isu itu ialah berkaitan gejala sosial yang rata-rata mangsanya ialah remaja Melayu.
Surat berkenaan juga bagi membincangkan berkaitan kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mencapai matlamat kuota 30 peratus untuk bumiputera. Isu ini saya kutip melalui pandangan yang dilontarkan oleh Prof. Diraja Ungku Aziz dan Prof.Dr.Ismail Salleh.
Pada pandangan saya ketika itu, isu tersebut perlu dibincangkan secara terbuka dan ikhlas melampaui sempadan ideologi politik kerana ia menyentuh mengenai kepentingan Melayu dan umat Islam. Turut dinyatakan dalam surat berkenaan hasrat bagi membincangkan berkaitan isu gejala murtad yang melanda remaja Melayu.
Kesemua isu ini saya ketengahkan dengan menghantar surat rasmi kepada Pemuda UMNO bagi membolehkan muzakarah diadakan. Bagaimanapun kami tidak mendapat maklum balas. Mungkin ketika itu UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang dengan begitu besar dalam pilihan raya, maka apa yang dibangkitkan oleh Pemuda Pas tidak dilihat ada sentimen atau kepentingan politik.
Saya menghantar surat berkenaan dengan harapan, biarlah Pemuda Pas dan Pemuda UMNO yang mewakili golongan muda dalam negara duduk berbincang bagi melahirkan keterbukaan, bukan untuk bercakap soal kepentingan politik tetapi isu-isu yang dibangkitkan.
Berdasarkan kepada latar belakang berkenaan, bagi saya budaya mengadakan muzakarah sudah lama sebenarnya ditunjukkan melalui pendekatan Pas. Malah saya sendiri berusaha untuk memastikan Pemuda Pas keluar daripada paradigma yang hanya membangkang atau pandai mengkritik sahaja kepada paradigma baru iaitu bersedia berbincang dan berkongsi pandangan serta melahirkan gagasan-gagasan pemikiran untuk kepentingan negara terutama orang Melayu dan Islam itu sendiri.
Bagaimana pula kali ini, apakah muzakarah yang diperkatakan akan berjaya dilaksanakan?
SALAHUDDIN: Berjaya atau tidak, saya ingin meletakkan parameternya dahulu, sememangnya muzakarah ini tidak harus menjadi satu agenda politik Pas atau UMNO. Tetapi kita membentuk muzakarah itu untuk membantu menyelesaikan perjuangan Islam dan orang Melayu dalam negara kita.
Saya mengharapkan tidak timbul suatu muzakarah yang mampu mencipta persepsi di kalangan rakyat bahawa berlakunya suatu perkongsian kuasa, itu saya tidak mahu. Saya tidak berminat untuk bercakap tentang itu. Apa yang penting, ia bukan satu agenda politik Pas atau UMNO tetapi kedua-dua parti boleh duduk semeja bagi berbincang mengenai memperkasakan kepentingan dan perjuangan Islam serta orang Melayu pada masa akan datang.
Dalam aspek ini, ia melibatkan ruang lingkup yang besar untuk kita berbincang terutama dalam masalah ekonomi, pendidikan, sosial dan banyak lagi isu kepentingan negara. Ini termasuklah soal kedaulatan, hak orang Melayu dan hak bangsa lain. Semua itu perlu kita jadikan satu agenda untuk menyelesaikannya dan bukan menghantar satu isyarat yang salah kepada rakyat di luar sana seolah-olah muzakarah ini ke arah pembentukan perkongsian kuasa. Kalau itu yang kita hantar maknanya rakyat akan melihat kita tidak ikhlas di dalam muzakarah ini. Saya tidak mahu rakyat terkeliru dan terperangkap. Biarlah melalui muzakarah ini, ia menunjukkan Pas dan UMNO sedia berbincang demi kepentingan rakyat.
Pada pandangan YB dalam memastikan muzakarah ini tidak gagal apakah yang perlu pemimpin UMNO dan Pas lakukan?
SALAHUDDIN: Bagi saya, kalau pemimpin Pas dan UMNO mempunyai iltizam dan ikhlas untuk duduk semeja bagi membincangkan kepentingan Melayu dan umat Islam, kita mesti memiliki minda negarawan.
Kita tidak boleh sama sekali memiliki pemikiran yang dilihat oleh rakyat sebagai orang politik semata-mata. Pemikiran sebagai negarawan amat penting apabila kita melihat isu-isu dan masalah yang berkaitan orang Melayu dan umat Islam.
Semua masalah atau perkara berkaitan dengan isu itu boleh diselesaikan daripada paradigma seorang negawan. Kalau itulah sikap yang ada kepada pemimpin Pas dan UMNO, saya yakin semua masalah berkenaan akan dapat ditangani. Apa yang membimbangkan saya ialah kalau kedua-dua masalah berkenaan dilihat dalam konteks politik ia boleh menyebabkan muzakarah yang diharapkan akan gagal. Lebih buruk, masyarakat akan melihat apa yang hendak dilakukan hanyalah sekadar untuk memenuhi agenda politik masing-masing.
Justeru dalam memastikan muzakarah ini benar-benar boleh berjaya dan mencapai matlamatnya, semangat negarawan amat penting diamalkan oleh pemimpin kedua-dua parti sama ada Pas atau UMNO. Ini kerana ada satu ungkapan mengatakan, “Ahli politik hanya memikirkan mengenai pilihan raya akan datang tetapi seorang negarawan memikirkan mengenai generasi akan datang.’’ Saya percaya kalau inilah menjadi sandaran kita semua, insyaallah muzakarah yang dicadangkan itu pasti akan berjaya dan mencapai matlamatnya.
Apakah muzakarah ini perlu diletakkan syarat?
SALAHUDDIN: Dalam aspek ini saya merasakan Pemuda Pas sebagai sayap kanan parti sudah memulakan dulu tetapi tidak mendapat sambutan. Kali ini terpulang kepada siapa yang mahu membuka meja perundingan. Bagi saya tidak ada salahnya dalam soal pendekatan muzakarah ini kerana Pas boleh laksanakan bila-bila masa, kita sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan.
Adakah YB bersetuju dengan pandangan bahawa UMNO mengajak Pas bermuzakarah kerana parti Melayu itu sudah lemah berikutan keputusan pilihan raya umum lalu?
SALAHUDDIN: Saya cuba sebaik mungkin untuk tidak mempolitikkan isu ini. Sebab itu saya menghantar pelawaan untuk mengadakan muzakarah dan perbincangan dahulu (2004) dalam satu era yang tidak memungkinkan ia dikaitkan dengan siapa yang terdesak.
Tetapi sekarang ini, sememangnya rakyat termasuk penganalisis politik memberi pandangan bahawa lahirnya suara-suara dalam UMNO untuk mengadakan muzakarah dengan Pas disebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga.
Bagaimanapun bagi Pas, dalam suasana mana pun kedudukan UMNO, kita sentiasa mengamalkan pendekatan muzakarah.
Maknanya Pemuda Pas bersedia bertemu dengan Pemuda UMNO bagi membincangkan soal muzakarah ini?
SALAHUDDIN: Kalau syarat-syarat atau parameter yang saya nyatakan dapat kita perjelaskan Pas sentiasa terbuka untuk tujuan itu. Ia boleh bermula dengan satu forum terbuka jika kita benar-benar ikhlas. Kalau boleh siarkan secara langsung di televisyen supaya rakyat boleh mendengar dan melihat dengan telus apa agenda bertindak yang dirancang dan gagasan pemikiran kita.
Ini bagi mengelakkan kita duduk membincangkan satu agenda politik yang akhirnya rakyat akan mencemuh kita.
Sebagai pemimpin Pemuda Pas apa yang YB harapkan dalam penyatuan Melayu?
SALAHUDDIN: Sebenarnya satu pendekatan yang lebih bertanggungjawab diperlukan. Sebab itu saya amat tidak bersetuju kalaulah muzakarah ini di awal-awal lagi menampakkan perkongsian kuasa kerana ia akan menyebabkan rakyat melihat kita tidak ikhlas. Mungkin esok kalau kita menghantar isyarat yang jelas kepada rakyat berhubung muzakarah ini, mungkin mereka akan menyatakan saya atau beberapa individu dalam kepimpinan dalam Pas ingin jadi menteri, ini akhirnya tidak mampu menyelesaikan masalah kita.
Bagi mengelakkan tanggapan itu wujud, saya lebih suka jika Pas duduk di sebelah sini dan UMNO duduk di sebelah sana tetapi bersama-sama berbincang untuk menyelesaikan masalah orang Melayu. Ertinya, dalam soal ini Pas dan UMNO tidak perlu duduk dalam satu bumbung tetapi dengan wujudnya kedua-dua parti berkenaan, ia boleh mewujudkan ‘check and balance’ serta ketelusan.
Melalui langkah sedemikian, kita membuka ruang lebih luas kepada perbincangan yang ikhlas dan mewujudkan satu diskusi yang lebih bertanggungjawab. Contohnya, dulu Pas dijemput ke dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), budaya seperti ini harus diteruskan. Selain itu kita perlu mewujudkan jawatankuasa di peringkat nasional melibatkan Pas dan UMNO serta mana-mana badan yang lain termasuk NGO Melayu.
Cara ini akan membolehkan agenda kita akan dilihat lebih ikhlas, bukannya mempunyai agenda politik atau hendak jadi menteri dan mengejar pangkat. Ia juga akan memaparkan keikhlasan kita duduk bersama bagi memikir dan menyelesaikan masalah rakyat pada hari ini terutamanya melibatkan orang Melayu serta memperkasa perjuangan Islam dalam negara kita.
Namun apa pun agenda Islam dan Melayu yang Pas dan UMNO hendak bincangkan ia mestilah tidak terkeluar dalam kerangka Perlembagaan Negara.




