Seperti sebuah keramaian. Itulah yang berlaku kini di sekitar suasana kempen bagi merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh oleh 3 calon yang bertanding. Walaupun cuaca hujan sering melanda sekitar kawasan, tetapi semangat berkempen masih tidak luntur di kalangan jentera² parti.
Waktu hujung minggu ini telah digunakan sebaik mungkin oleh jentera ketiga-tiga penjuru parti untuk memeriahkan suasana kempen. Ramai yang turut hadir daripada seluruh pelusuk tanah air bagi memberikan sokongan kepada parti masing-masing. Pada saya kem Barisan Nasional telah mengerahkan jentera sedaya-upaya dan begitu juga dengan jentera daripada Pakaran Rakyat. Jentera daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) bermula agak perlahan walaupun tempoh berkempen hampir sampai ke penghujungnya.
Saya telah turut serta dalam ceramah-ceramah kempen daripada kedua-dua kem yang besar ini. Sudah tentulah ceramah Anwar Ibrahim yang sememangnya berjaya menarik ramai pendengar dengan kelantangan beliau berucap diterjah oleh saya. Di samping mencari kelibat Ezam yang akan turun bagi memberikan tentangan hebat kepada DSAI. Hari jumaat malam lepas saya berkesempatan untuk mendengar ucapan serangan daripada saudara Ezam. Agak ramai malam itu yang hadir untuk mendengar ucapan daripada Saudara Ezam. Mungkin juga yang hadir sebenarnya adalah ’sahabat’ Ezam sendiri suatu ketika dahulu.
Biarlah..
Saya memang telah menjadi seperti seorang Ahli Kaji Masyarakat seketika masih di sini. Mengkaji sejauh mana pemikiran dan penerimaan masyarakat terhadap budaya politik hari ini. Adakah masyarakat lebih cenderung kepada individu ataupun lebih cenderung kepada parti? Jawapan itu saya lebih suka untuk simpankannya sendiri.
Tetapi sewaktu bersama dengan pihak akar umbi yakni rakyat marhaen di bawah, saya melihat masih wujud kegusaran di hati mereka. Kekeliruan masih wujud terhadap isu-isu yang dimainkan oleh para politikus ini. Ada juga yang tidak senang duduk apabila mendengar pemimpin politik bukan melayu yang berucap di hadapan mereka yang berketurunan melayu ini. Tetapi Alhamdulillah ada juga antara bukan melayu yang masih bersemangat untuk mendengar ceramah daripada pemimpin Melayu daripada parti-parti yang bertanding. Suatu keharmonian yang sememangnya dituntut.
Setakat itu untuk tulisan pendek malam ini. Saya agak mengantuk. Insya-Allah jika diizinkan saya akan mengupas dengan lebih dalam situasi di Permatang Pauh pada penulisan selepas ini.
Saya yang masih mengkaji,
AHLI KAJI MASYARAKAT




