Ambang Sebelum Merdeka
Posted in Umum
Sekarang menunjukkan pukul 2.15 AM. Telah masuknya tanggal 26 Ogos yang membawa maksud tarikh pengundian bagi perebutan kerusi Parlimen P44 Permatang Pauh. Rakyat Permatang Pauh akan memainkan peranan yang besar dalam perencanaan sosio-politik negara kelak. Bersediakah mereka ?
Pemerhatian saya mendapati Permatang Pauh telah menjadi tumpuan kehadiran masyarakat luar dari seluruh negara. Terdapat khabar-khabar angin bahawa anggota kumpulan Hindraf juga turut ‘melancong’ kawasan sekitar Permatang Pauh. Diharapkan persediaan anggota keselamatan seramai 2,000 orang dapat mengawal keselamatan masyarakat sekitar daripada sebarang unsur-unsur ancaman daripada sebarang pihak. Begitu juga kelihatan beberapa NGO-NGO dan pertubuhan telah dilihat turun ke padang. Mungkin sebagai pemerhati atau mungkin juga memberikan sokongan kepada kem-kem tertentu.
Tetapi kini tempoh berkempen telah melabuhkan tirainya. Namun dikhuatiri strategi² licik dan provokasi-provokasi terlampau bakal tercetus di kawasan pengundian. Pengundi hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan tidak takut dengan sebarang provokasi yang wujud. Sesungguhnya pihak keselamatan akan menjamin keselamatan dan nyawa anda. Jentera-jentera parti tiada kuasa undang-undang untuk bertindak dengan sewenang-wenangnya. Jangan juga takut dengan ugutan-ugutan liar yang dilemparkan samada melalui mulut mahupun Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Tujuan itu semua hanya satu, iaitu menakut-nakutkan pengundi yang tidak memihak kepada kem mereka.
Pengundi di sini perlulah menjadi seorang yang paling bijak dan paling banyak berfikir, menilai dan menganalisis sebarang isu yang timbul. Jangan terlalu terikut-ikut dengan rentak permainan isu daripada sebelah pihak sahaja. Luaskan minda dan pemikiran anda serta pandanglah segala-galanya dalam setiap sudut dan penilaian. Anda kali ini bukan memilih individu sahaja. Tetapi anda turut memilih parti. Parti adalah segala-galanya. Seorang individu pun tidak boleh melampaui tindakan yang bertentangan dengan dasar parti. Dasar parti adalah penentu kepada masa depan negara. Pemimpin yang membelakangkan dasar dan prinsip parti akan ditentang sehabis mungkin oleh anggota parti. Seorang pemimpin itu tidak akan dapat memperjuangkan nasib rakyat secara keseluruhannya.
Akhir kata dari saya kepada pengundi, pilihlah sebaik mungkin parti mana yang anda fikirkan mampu menjaga warisan turun-temurun nenek-moyang kita. Parti yang akan terus memartabatkan Agama Islam kita yang dicintai. Semoga undi saudara-saudari sekalian tidak akan memecah-belahkan negara kita hendaknya.
JANGAN MENJADI SEORANG YANG TAMAK. WALAUPUN SEKARANG INI ANDA MENDAPAT SEDIKIT, TETAPI ADAKAH KEMUDIAN HARI ANDA AKAN MENDAPAT HASIL YANG BANYAK ?
Renung-renungkanlah…
AHLI KAJI MASYARAKAT




