Artikel 153
Posted in Artikel, Pemikiran, Penyelesaian, Politik, Sejarah, Sosial, Umum | No Comments
Tagged Under : artikel 153, melayu
Bismillahirahmanilrahim. Alhamdulillahirabbil alamin, wassalaltuwassalamu ‘alalambiai mursalin, wa’ala’alihi wahsahbihi ajmain.
Assalamualaikum wbkt.
Pada hemat saya apa yang hendak dibincang atau diperkatakan dalam perhimpunan hari ini, ialah tentang dua perkara penting yang melibatkan kedudukan orang Melayu dan Bumiputra di dalam negara yang tercinta ini.
Ia melibatkan Artikel 153 yang berkaitan dengan kedudukan Keistimewaan Orang Melayu-Bumiputra dan kontrek sosial.
Termaktubnya Artikel 153 itu adalah hasil daripada termetrainya kontrek sosial di antara semua kaum yang bermastautin di negara ini sebelum merdeka.
Kedua-dua perkara ini adalah penting bagi semua rakyat Malaysia mengetahui, menghayati dan mengamalkannya.
Artikel 153 terkandung sebagai salah satu fasal yang amat penting dan signifiken dalam Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan bukan saja merupakan undang-undang yang tertinggi negara, akan tetapi juga ia adalah merupakan sebuah dokumen yang suci kepada rakyat Malaysia.
Artikel ini terkandung di dalam the Constitution of Federation of Malaysia 1957, hal.74. Ia menentukan kedudukan keistimewaan orang Melayu-Bumiputra dan memberikan kuasa undang-undang (legitimacy) bagi membantu dan melindungi mereka dalam bidang ekonomi dan pedidikan, (termasuk biasiswa dan qota pekerjaan di bidang perkhidmatan awam) dan diletakan di bawah tanggungjawab DYMM Yang Di Pertuan Agung.
Menakala kontrek sosial pula adalah merupakan dasar tolak-ansur orang-orang Melayu terhadap “orang dagang” dan “penduduk sementara” di negara ini yang ketika itu tidak diiktiraf sebagai rakyat negeri-negeri Melayu atau rakyat Raja-raja Melayu yang tidak mempunyai legitimacy dalam negeri-neeri Melayu.
Tolak-ansur secara paksaan yang didorong British di bawah Jawatankuasa Perhubungan Kaum ((CLC) tajaan penjajah inilah yang telah melahirkan kerakyataan yang diberikan kepada orang dagang dan penduduk sementara ini.
Ia dilakukan atas dasar jus soli (kerakyatan secara lahir) dalam State Nationality 1951 dan pelonggaran kerakyataan Persekutuan secara permohonan yang telah mengikat kekrjasama antara orang Melayu dan bukan Melayu di Tanah Melayu yang telah dimetrai sebelum kemerdekaan 1957.
Ini adalah merupakan satu political bargaining yang ditekankan kepada Raja-raja Melayu dan orang-orang Melayu-Bumiputra untuk membolehkan, bukan saja kepentingan-kepentingan politiko-ekonomi British diteruskan, akan tetapi juga akhirnya membolehkan Malaysia mencapai kemerdekaannya.
Bagaimanapun, walaupun memperkatakan tentang Perlembagaan, khususnya Artikel 153 dan Kontrek Sosial itu penting, pada hemat saya, ini masih belum boleh lagi membolehkan kita merongkai permasalahan rumit yang membelenggu negara dewasa ini.
Perbincangan mengenai Perlembagaan dan Kontrek Sosial hari ini hanyalah merupakan satu perbincangan yang tidak dan belum dapat menghuraikan isi sebenarnya kepada permasalahan yang kita hadapi.
Maka itu perbincangan hari ini bolehlah dianggap belum dan tidak kena pada sasaran yang dituju.. Iaitu apa yang menyebabkan dan mengapa kita membincangkan tajuk perbincangan hari ini; dan mengapa perlu kita membincangkannya.
Bagi merongkaikan permasalahan yang ingin diperkatakan hari ini, kita hendaklah mencari punca atau sebeb musabab timbulnya permasalahan itu sehingga kita semua perlu membincangkannya.
Pada saya apa yang ingin kita perkatakan hari ini hanya akan menyentuh kulit kepada permasalahan sahaja. Bukan menyentuh tentang isinya.
Timbulnya sesuatu masalah itu, tentulah bersebab; dan berpunca.
Kupasan masalah
Kalau boleh saya ingin memperkatakan hal ini dari akar umbinya, sekiranya diizinkan. Mungkin ia akan memakan masa sedikit untuk menghuraikannya.
Adakah tuan-tuan dan puan-puan ingin mendegarnya (saya bukan maksudkan “to hear”, tetapi to “listen” (dengan izin)?
Dari segi Bahasa Inggeris ia mempunyai konotasi yang berlainan. Hear, bermaksud mendengar. Menakala listen, bermaksud mendengar dengan teliti, penuh tumpuan dan perhatian..
Kalau Sdr2, Tuan2 dan Puan2 tidak sanggup to listen. Saya tidak akan menerus dan mengulasnya lebih lanjut lagi. Saya akan berhenti membicarakan apa yang hendak saya perkatakan yang ada di dalam benak saya ini.
9 sekolah agama uzur mohon tanah
Posted in Artikel, Krisis, Sosial | No Comments
KUALA LUMPUR 2 Sept. – Pertubuhan Pendokong Sekolah-sekolah Agama Rakyat Negeri Perak (PPSR) meminta kerajaan negeri turut menganugerahkan tanah kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) seperti yang diberikan kepada sembilan buah sekolah persendirian Cina bagi membolehkan SMA itu meneruskan peranannya.
Setiausaha PPSR, Khairul Anwar El-Syazalli Musa berkata, keadaan sembilan buah sekolah menengah agama itu kini begitu uzur dan tidak lagi boleh bertahan jika tiada bantuan diberikan.
Katanya, keseluruhan sekolah agama di Perak daripada segi fizikalnya begitu daif kerana tiada bantuan sewajarnya diberikan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, kesemua sekolah berkenaan hanya memperoleh bantuan daripada Baitulmal Perak dengan peruntukan purata RM12 setahun setiap pelajar.
“Daripada 38 sekolah agama di negeri ini, enam daripadanya telah ditutup dan 23 buah sekolah terpaksa diambil alih oleh kerajaan Pusat dan yang kekal cuma sembilan buah, itu pun dalam keadaan uzur.
‘‘Kami memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri kerana jika bantuan lambat diberi, mungkin ada sekolah agama itu akan ditutup kerana tidak mampu membiayainya lagi.
“Apa yang menyedihkan lagi, kebanyakan guru sekolah agama ini berada di bawah paras kemiskinan sehingga ada yang terpaksa bekerja sambilan seperti menjadi pemandu dan pengawal keselamatan untuk mencukupkan pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Ipoh, hari ini.
Beliau diminta mengulas langkah kerajaan Perak menganugerahkan 400 hektar tanah kepada sekolah persendirian Cina di Perak supaya ia dapat mengusahakan tanah berkenaan dan menggunakan keuntungan yang diperoleh untuk membiayai kos pentadbirannya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dipetik sebagai berkata, peruntukan RM30,000 setahun kepada setiap sekolah berkenaan pada masa ini tidak memadai.
Langkah ini disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa dan sepatutnya turut diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah-sekolah Tamil yang rata-ratanya masih berkeadaan daif.
Khairul Anwar berkata, bantuan perlu diberikan kepada sembilan buah SMA itu kerana ia mempunyai lebih 5,000 pelajar.
Selain itu, katanya, terdapat 650 buah Sekolah Rendah Agama dengan 100,000 murid di negeri ini yang juga dalam keadaan tidak sempurna.
‘‘Kami menganggap faktor fizikal bukan penghalang untuk cemerlang dalam pendidikan, tetapi apa yang diutamakan sekarang ialah memastikan tenaga pengajarnya memperoleh pendapatan lebih selesa.
‘‘Pada masa ini, jika wang tidak cukup untuk membayar gaji guru, kami terpaksa isytihar di masjid untuk meminta derma daripada orang ramai,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Majlis Permufakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, langkah kerajaan negeri Perak itu membelakangi agenda pendidikan kerajaan Pusat yang memberi keutamaan pendidikan kepada semua kaum.
Menurut beliau, sepatutnya perancangan kerajaan Perak sentiasa selari dengan kerajaan Pusat dalam isu pelajaran.
‘‘Kita minta mereka kaji dan teliti semula keputusan itu. Utamakan pendidikan awam daripada melihat keutamaan pendidikan kepada kaum tertentu sahaja,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Mohd. Ali, jika kerajaan Perak meneruskan cadangan itu, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.
‘‘Ia boleh memecah-belahkan perpaduan antara kaum. Jangan sampai ada kaum yang tidak puas hati dengan kelebihan yang diperolehi oleh kaum lain,” tegasnya.
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamed pula berkata, tindakan itu menjurus kepada motif politik yang jelas tidak mengutamakan keadilan kepada kaum lain.
‘‘Mengapa tidak beri kepada Sekolah Agama Rakyat dan sekolah-sekolah Tamil yang keadaannya sama dengan sekolah Cina? Mereka tidak adil kerana mementingkan satu kaum sahaja.
‘‘Timbang balik keputusan itu. Ia sebenarnya membuka jurang yang lebih luas antara kaum untuk sama-sama hidup dalam keadaan bersatu padu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yayasan Pelajar Islam Malaysia (YPIM) turut meminta kerajaan negeri Perak menimbang semula keputusan itu kerana keutamaan seharusnya diberikan kepada institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama rakyat.
‘‘Banyak SAR belum mendapat kemudahan yang baik seperti sekolah-sekolah biasa. Seharusnya keutamaan diberi kepada SAR,” kata Presidennya, Khalek Awang.
(Sumber Utusan Malaysia, 2 Sept 2008)
Beri tanah sekolah Cina luar biasa
Posted in Artikel | (7) Comments
Oleh Abdul Razak Din
IPOH 1 Sept. – Langkah Kerajaan Negeri Perak menganugerahkan tanah seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa dan belum pernah dilakukan sebelum ini.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, jika pun mahu dilakukan, ia seharusnya turut diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah-sekolah Tamil yang rata-ratanya masih berkeadaan daif.
Beliau yang juga seorang pendidik percaya langkah Kerajaan Perak itu mempunyai motif untuk menarik sokongan politik.
Katanya, jika dilaksanakan ia boleh meningkatkan jurang dan tahap pendidikan antara kaum Cina dengan masyarakat Melayu serta India.
‘‘Saya fikir dengan pemberian tanah seluas 44 hektar kepada setiap sekolah persendirian Cina itu, ia mampu menjana pendapatan seperti melaksanakan projek komersial atau ladang sawit supaya sekolah berkenaan mempunyai kemampuan kewangan sendiri dan memperkukuhkan lagi operasi sekolah persendirian Cina untuk menjadi lebih berdaya maju.
‘‘Setahu saya, sekolah-sekolah Cina tidak perlu bantuan lagi kerana mereka mempunyai lembaga sekolah yang cergas dan aktif dalam mencari sumber kewangan yang mencukupi untuk membiayai persekolahan mereka,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Kerajaan Perak menganugerahkan 400 hektar tanah kepada sekolah persendirian Cina di negeri itu supaya ia dapat mengusahakan tanah berkenaan dan menggunakan keuntungan yang diperoleh untuk membiayai kos pentadbirannya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dipetik sebagai berkata, peruntukan RM30,000 setahun kepada setiap sekolah berkenaan pada masa kini tidak memadai.
Oleh itu, sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi tanah kepada sekolah tersebut yang membolehkan mereka menubuhkan syarikat bagi mengusahakan tanah berkenaan.
Ekoran daripada itu, Pergerakan Pemuda UMNO Perak meminta supaya penganugerahan tanah tersebut tidak mengenepikan kepentingan Melayu dan Islam dalam sebarang keputusan kerajaan negeri.
Ketua Pemudanya, Zainol Fadzi Paharudin berkata, langkah kerajaan negeri itu tidak salah tetapi pada masa yang sama perlu berlaku adil kepada sekolah agama dan pondok.
Mohd. Hilmi yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Darul Ridzuan di Selangor dan Wilayah Persekutuan berkata, GMP akan membuat kajian dan membuat tindakan sewajarnya terhadap perkara tersebut.
Katanya, dalam tempoh baru lima bulan memerintah, kerajaan pembangkang telah melakukan banyak perkara luar biasa untuk kepentingan politik mereka.
‘‘Apa yang akan terjadi dalam tempoh lima tahun akan datang, sudah tentu lebih banyak lagi yang akan dilaksanakan untuk menarik sokongan rakyat daripada masyarakat tersebut,” katanya.
(Sumber Utusan Malaysia, 1 Sept 2008)
Isu Muzakarah UMNO & PAS
Posted in Artikel, Bersatu, Politik | No Comments
BUKAN AGENDA POLITIK
Utusan Malaysia 20 Julai 2008
ISU mengenai muzakarah UMNO dan Pas timbul lagi. Segalanya bermula apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk duduk semeja berbincang dengan UMNO dalam soal memperjuangkan hak kepentingan Melayu dan umat Islam di negara ini.
Kesediaan Pas itu semakin mendapat perhatian apabila Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa dalam soal Melayu dan Islam, UMNO bersedia bersama-sama berbincang dengan Pas.
Tetapi persoalannya, apakah hasrat murni itu akan mencapai kejayaan? Adakah kali ini muzakarah berkenaan akan menjadi kenyataan atau ia sekali lagi hanya tinggal impian?
Untuk menghuraikan semua persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR menemui dua pemimpin muda dalam UMNO dan Pas iaitu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.
Dalam pertemuan berasingan di bangunan Parlimen, pada Khamis lalu, kedua-dua tokoh muda ini menyambut baik usaha untuk mengadakan muzakarah berkenaan.
Bagi Hishammuddin dan Salahuddin, mereka sepakat bahawa muzakarah ini perlu diadakan dengan hati yang ikhlas tanpa sebarang syak wasangka termasuklah juga kononnya usaha tersebut dilakukan kerana UMNO semakin lemah.
Jika Hishammuddin menegaskan bahawa ideologi politik bukan kekangan, Salahuddin pula berpendapat muzakarah berkenaan tidak harus memberi isyarat yang salah kepada rakyat bahawa akan berlaku perkongsian kuasa antara kedua-dua parti itu.
Sebaliknya bagi mereka, apa yang penting dalam memperjuang dan mempertahankan orang Melayu serta umat Islam, UMNO dan Pas harus berada dalam satu barisan.




