Politik Mustahil
Posted in Krisis, Pemikiran, Perpecahan | (1) Comment
Ramai penganalisa politik mengatakan bahawa situasi politik negara sedang berada di ambang baru. Revolusi Politik Malaysia. Ini juga membawa maksud bahawa Barisan Nasional dan UMNO sebagai tunjangnya sudah tidak lagi relevan untuk menerajui negara.
Tetapi revolusi apakah yang di bawa oleh seteru Barisan Nasional? 3 buah parti pembangkang yang ‘terpaksa’ untuk berkahwin dan kini sedang melalui proses ‘percintaan’ mereka sedang berusaha sambil berhati-hati untuk membawa agenda parti masing². Tetapi konsep jelas yang keudara hari ini adalah konsep keadilan sejagat yang memupuk secara senyap Malaysian Malaysia atau hak sama rata antara semua kaum bawaan DAP dan tidak mendapat tentangan daripada PKR & PAS. Itukah keadilan nasional bawaan PKR dan dimanakah negara Islam bawaan PAS ?
Walaupun terdapat perbezaan ideologi dan perjuangan parti. Tetapi ini semua adalah masih tidak penting bagi pandangan penyokong Pakatan Rakyat dan ahlinya. Apa yang penting adalah untuk menumbangkan Barisan Nasional dan Parti UMNO yang mereka lihat sangat ‘jahat’ dan sudah tidak lagi relevan. Serangan² bertalu-talu daripada ketiga-tiga parti ke atas kepimpinan UMNO khasnya semakin hari semakin tajam. Dalam hal ini pula parti komponen Barisan Nasional yang lain bermain tarik tali dan tenggelam-timbul. Ramai pula di ahli-ahli veteran mereka telah meninggalkan parti akibat konflik dalaman. Ditambah pula dengan kebongkakan pemimpin Gerakan dan MCA terhadap isu Datuk Ahmad Ismail. Maknanya UMNO kini bukan sahaja di asak dari luar, tetapi seperti wujud gunting dalam lipatan mereka dicucuk-cucuk dari belakang.
Tetapi rakyat negara hari ini perlu membuka mata bahawasanya dalam sementara untuk melihat kejatuhan Barisan Nasional dan kemungkinan tenggelamnya UMNO, banyak yang telah berlaku. DEB terhapus di Pulau Pinang, tuntutan-tuntutan tanah daripada bukan Melayu, dasar-dasar yang terwujud seperti hak pembesaran rumah ibadat bukan Islam, dan banyak lagi isu yang rata-ratanya tidak langsung berpihak kepada orang Melayu.
Setiap kali pemimpin UMNO ingin bersuara menentang dasar-dasar tersebut, pihak pembangkang dengan lebih lantangnya membidas segala tentangan daripada pihak kepimpinan UMNO. Pemimpin Melayu yang berada di dalam Pakatan Rakyat tidak ada yang bersuara bagi menegakkan hak Melayu, kerana jatidiri mereka adalah mengutamakan perjuangan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan hubungan mereka bersama Pakatan Rakyat perlu dijaga dan diperkukuhkan.
Ya! UMNO akan mengadakan pemilihan parti tidak lama lagi. Tetapi gejala politik wang dan rasuah macam sudah semakin parah. Media juga melaporkan aktiviti BPR yang semakin aktif menghidu gejala tersebut. Adakah mereka sebenarnya benar² berjuang atas nama perjuangan? Atau sememangnya demi duit poket sendiri dan kaum keluarga mereka?
Jika itulah kebenarannya, salah satu cara untuk membuatkan melayu SEDAR bahawa betapa pentingnya menjaga hak dan kepentingan mereka seiring dengan perlembagaan dan juga sebagaimana yang pernah tertulis dalam sejarah negara adalah dengan MENAMATKAN KEWUJUDAN UMNO. Tidak ada lagi parti politik yang menyatukan Melayu seluruh negara kecuali Parti PAS yang sedang berada di Pakatan Rakyat.
Dengan ini Pakatan Rakyat tidak akan ada musuh atau seteru utamanya lagi. Tiada lagi media yang akan menghentam mereka. Mereka akan bebas membentuk kerajaan mengikut acuan mereka sendiri. Waktu itu juga tidak wujud langsung pembangkang samada di DUN mahupun di Dewan Parlimen. Parti-parti lain seperti MCA & MIC mungkin akan mengubah kapal dan turut bersama-sama Pakatan Rakyat memerintah negara.
Jadi siapa pula yang akan jadi pembangkang? Bukankah pihak pembangkang itu perlu wujud bagi menjamin Check and Balance dalam sesebuah negara?
Dan pada waktu inilah bahawasanya akan wujud pula musuh-musuh baru di kalangan Pakatan Rakyat sendiri. Apabila pejuang-pejuang Melayu tulen di dalam Pakatan Rakyat sudah tersedar bahawasanya tugas untuk membela nasib orang Melayu berada di tangan mereka. Mereka perlu sedar bahawa tanggungjawab memimpin telah berada di bahu mereka. Kedudukan agama Islam yang dicintai ini juga akan berada di bawah tanggungjawab mereka. Mereka yang sebelum ini asyik menyalahkan orang lain demi mendapatkan kuasa dalam karier politik mereka perlu mengubahkan identiti diri. Kerana mereka sudah tiada ‘alat’ lagi untuk disembur dengan serangan politik. Kini mereka perlu memimpin.
Tetapi sejauh mana mereka akan kekal sebagai sebuah kerajaan pusat? Konsep apakah yang mereka akan bawa? Konsep Malaysian Malaysia bawaan DAP atau negara Islam bawaan PAS? Ataupun mereka akan mengemukakan konsep baru untuk Pakatan Rakyat? Ataupun mereka akan menghapuskan nama parti masing² dan berpayung di bawah nama Pakatan Rakyat? Adakah itu yang diinginkan oleh mereka?
Atau adakah kemungkinan untuk berlakunya kejadian Parti yang keluar daripada Pakatan Rakyat? Adakah PAS akan dapat bertahan di dalam Pakatan Rakyat buat satu jangkamasa yang lama setelah mereka menyedari bahawa perjuangan Islam di dalam Pakatan Rakyat adalah tidak relevan? Maka jadilah mereka kembali menjadi Parti Pembangkang di Malaysia.
Maka tinggallah pakatan DAP+PKR+MCA+Gerakan+MIC yang mana orang Melayu yang berada di dalam pakatan itu hanya tinggal berapa kerat sahaja.
Adakah ini yang kita mahu?




