Ambang Sebelum Merdeka

Posted in Umum | No Comments

Sekarang menunjukkan pukul 2.15 AM. Telah masuknya tanggal 26 Ogos yang membawa maksud tarikh pengundian bagi perebutan kerusi Parlimen P44 Permatang Pauh. Rakyat Permatang Pauh akan memainkan peranan yang besar dalam perencanaan sosio-politik negara kelak. Bersediakah mereka ?

 

Pemerhatian saya mendapati Permatang Pauh telah menjadi tumpuan kehadiran masyarakat luar dari seluruh negara. Terdapat khabar-khabar angin bahawa anggota kumpulan Hindraf juga turut ‘melancong’ kawasan sekitar Permatang Pauh. Diharapkan persediaan anggota keselamatan seramai 2,000 orang dapat mengawal keselamatan masyarakat sekitar daripada sebarang unsur-unsur ancaman daripada sebarang pihak. Begitu juga kelihatan beberapa NGO-NGO dan pertubuhan telah dilihat turun ke padang. Mungkin sebagai pemerhati atau mungkin juga memberikan sokongan kepada kem-kem tertentu.

 

Tetapi kini tempoh berkempen telah melabuhkan tirainya. Namun dikhuatiri strategi² licik dan provokasi-provokasi terlampau bakal tercetus di kawasan pengundian. Pengundi hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan tidak takut dengan sebarang provokasi yang wujud. Sesungguhnya pihak keselamatan akan menjamin keselamatan dan nyawa anda. Jentera-jentera parti tiada kuasa undang-undang untuk bertindak dengan sewenang-wenangnya. Jangan juga takut dengan ugutan-ugutan liar yang dilemparkan samada melalui mulut mahupun Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Tujuan itu semua hanya satu, iaitu menakut-nakutkan pengundi yang tidak memihak kepada kem mereka.

 

Pengundi di sini perlulah menjadi seorang yang paling bijak dan paling banyak berfikir, menilai dan menganalisis sebarang isu yang timbul. Jangan terlalu terikut-ikut dengan rentak permainan isu daripada sebelah pihak sahaja. Luaskan minda dan pemikiran anda serta pandanglah segala-galanya dalam setiap sudut dan penilaian. Anda kali ini bukan memilih individu sahaja. Tetapi anda turut memilih parti. Parti adalah segala-galanya. Seorang individu pun tidak boleh melampaui tindakan yang bertentangan dengan dasar parti. Dasar parti adalah penentu kepada masa depan negara. Pemimpin yang membelakangkan dasar dan prinsip parti akan ditentang sehabis mungkin oleh anggota parti. Seorang pemimpin itu tidak akan dapat memperjuangkan nasib rakyat secara keseluruhannya.

 

Akhir kata dari saya kepada pengundi, pilihlah sebaik mungkin parti mana yang anda fikirkan mampu menjaga warisan turun-temurun nenek-moyang kita. Parti yang akan terus memartabatkan Agama Islam kita yang dicintai. Semoga undi saudara-saudari sekalian tidak akan memecah-belahkan negara kita hendaknya.

 

JANGAN MENJADI SEORANG YANG TAMAK. WALAUPUN SEKARANG INI ANDA MENDAPAT SEDIKIT, TETAPI ADAKAH KEMUDIAN HARI ANDA AKAN MENDAPAT HASIL YANG BANYAK ?

 

Renung-renungkanlah…

 

AHLI KAJI MASYARAKAT

Ditelan Mati Mak, Diluah Mati Bapak

Posted in Pilihanraya, Politik | No Comments

Peribahasa Melayu lama ini menggambarkan bagaimana suatu keputusan itu sukar dibuat bagi orang-orang yang berada di ambang sesuatu. Bayangkan betapa seksanya sekiranya ada sesuatu di dalam mulut dan tidak dapat membuat sesuatu terhadap benda itu. Jika ditelan matilah mak dan jika diluah mati pula si bapak.

 

Sekali lagi saya nyatakan bahawa masyarakat pengundi di Permatang Pauh adalah penentu terhadap masa depan negara dalam masa beberapa detik lagi. Isu-isu yang dimainkan ketika ini oleh jentera kempen kem-kem yang terlibat meletakkan pengundi di ambang kekeliruan. Mana satukah isu atau tuduhan yang dimainkan mempunyai kebenarannya. Atau adakah semua itu kekal sebagai fitnah atau konspirasi orang-orang tertentu.

 

Isu-isu yang menyebabkan pengundi ‘pening’ :   Serangan Terhadap Pakatan Rakyat -

  1. Isu liwat Anwar Ibrahim. Pengundi ternanti-nanti sumpah balas daripada beliau.
  2. Dasar perjuangan beliau yang tidak berpihak kepada kepentingan Orang Melayu. Kerana beliau dikatakan memperjuangkan hak sama rata kepada semua.
  3. Pendedahan saudara Ezam terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim.
Serangan Terhadap Barisan Nasional -
  1. Kezaliman, penyelewengan dan ketidakcekapan pentadbiran Barisan Nasional.
  2. Permainan politik berbentuk perkauman.
  3. Serangan berbentuk peribadi terhadap permimpin tertentu. Contohnya : kes Altantunya, dll.
    Dan seperti biasa kedua-dua kem tetap bersedia menerima serangan dan membalas balik dengan serangan Counter-Attack yang berbisa. Dan masing-masing juga mempunyai kekuatan tertentu terutama dari segi gerakan jentera yang keras bertungkus-lumus menjayakan misi mereka.

     

    Apa yang boleh dilakukan bagi mereka yang ‘tersepit’ ini adalah seperti yang dilakukan oleh pertubuhan ini :

     

    Munajat Memohon Petunjuk

     

     

    Semoga masa depan Malaysia sentiasa cerah walaupun kini sedang mendung.

    Keramaian

    Posted in Umum | No Comments

    Seperti sebuah keramaian. Itulah yang berlaku kini di sekitar suasana kempen bagi merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh oleh 3 calon yang bertanding. Walaupun cuaca hujan sering melanda sekitar kawasan, tetapi semangat berkempen masih tidak luntur di kalangan jentera² parti.

     

    Waktu hujung minggu ini telah digunakan sebaik mungkin oleh jentera ketiga-tiga penjuru parti untuk memeriahkan suasana kempen. Ramai yang turut hadir daripada seluruh pelusuk tanah air bagi memberikan sokongan kepada parti masing-masing. Pada saya kem Barisan Nasional telah mengerahkan jentera sedaya-upaya dan begitu juga dengan jentera daripada Pakaran Rakyat. Jentera daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) bermula agak perlahan walaupun tempoh berkempen hampir sampai ke penghujungnya.

     

    Saya telah turut serta dalam ceramah-ceramah kempen daripada kedua-dua kem yang besar ini. Sudah tentulah ceramah Anwar Ibrahim yang sememangnya berjaya menarik ramai pendengar dengan kelantangan beliau berucap diterjah oleh saya. Di samping mencari kelibat Ezam yang akan turun bagi memberikan tentangan hebat kepada DSAI. Hari jumaat malam lepas saya berkesempatan untuk mendengar ucapan serangan daripada saudara Ezam. Agak ramai malam itu yang hadir untuk mendengar ucapan daripada Saudara Ezam. Mungkin juga yang hadir sebenarnya adalah ’sahabat’ Ezam sendiri suatu ketika dahulu.

     

    Biarlah..

     

    Saya memang telah menjadi seperti seorang Ahli Kaji Masyarakat seketika masih di sini. Mengkaji sejauh mana pemikiran dan penerimaan masyarakat terhadap budaya politik hari ini. Adakah masyarakat lebih cenderung kepada individu ataupun lebih cenderung kepada parti? Jawapan itu saya lebih suka untuk simpankannya sendiri.

     

    Tetapi sewaktu bersama dengan pihak akar umbi yakni rakyat marhaen di bawah, saya melihat masih wujud kegusaran di hati mereka. Kekeliruan masih wujud terhadap isu-isu yang dimainkan oleh para politikus ini. Ada juga yang tidak senang duduk apabila mendengar pemimpin politik bukan melayu yang berucap di hadapan mereka yang berketurunan melayu ini. Tetapi Alhamdulillah ada juga antara bukan melayu yang masih bersemangat untuk mendengar ceramah daripada pemimpin Melayu daripada parti-parti yang bertanding. Suatu keharmonian yang sememangnya dituntut.

     

    Setakat itu untuk tulisan pendek malam ini. Saya agak mengantuk. Insya-Allah jika diizinkan saya akan mengupas dengan lebih dalam situasi di Permatang Pauh pada penulisan selepas ini.

     

    Saya yang masih mengkaji,

     

    AHLI KAJI MASYARAKAT

    26 Ogos & P44 Permatang Pauh

    Posted in Pilihanraya, Politik | No Comments

    Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

     

    Catatan saya ini adalah dari Permatang Pauh. Saya yang sememangnya semakin teruja untuk mengikuti perkembangan politik semasa ini ingin mengambil kesempatan untuk turut sama menyaksikan sejarah yang bakal tercipta bagi negara yang tercinta - Bumi Malaysia ini.

     

    Namun sejarah yang bagaimanakah yang bakal tercipta yang bermula di bumi Permatang Pauh ini. Samada ia  adalah sebuah sejarah manis buat semua rakyat Malaysia? Ataupun bakal tercatat dalam buku sejarah bahawasanya ini adalah permulaan sejarah yang membawa masa depan Malaysia yang lebih gelap?

     

    Entahlah. Saya kini semakin takut untuk mendepani masa hadapan. Ya benar mungkin kepincangan yang berlaku pada Kerajaan Barisan Nasional hari ini membuatkan semuanya kelihatan buruk di mata rakyat. Tetapi adakah Kerajaan Pakatan Rakyat yang kemungkinan besar bakal mentadbir negara ini kelak mampu membawa perubahan yang besar buat Rakyat? Persoalan inilah yang membuatkan rakyat seringkali terkeliru untuk memilih.

     

    Isu-isu yang dimainkan kedua-dua kem Barisan Nasional & Pakatan Rakyat (AKIM terkecuali) sangat panas. Rakyat yang bukan penyokong tegar kepada parti² berkenaan akan mudah terpengaruh dengan isu-isu yang dimainkan. Saya tidak ingin mengulas lanjut mengenainya. Anda sendiri mungkin sudah sedia maklum. Tetapi akan saya isikan juga perkara itu dalam penulisan selepas ini. Masing² Barisan Nasional & Pakatan Rakyat mempunyai kekuatan terhadap isu yang dipertontonkan kepada rakyat Permatang Pauh.

     

    Alhamdulillah.. Tiada lagi insiden² buruk berlaku di sekitar kawasan berkempen selepas insiden dua jurugambar tempatan & asing dipukul jentera kempen. Semuanya berjalan dengan lancar walaupun senjata-senjata provokasi sering dilontarkan. Suasana juga kadang² tidak mengizinkan untuk berkempen. Cuaca hujan lebat hari ini dan beberapa hari sebelumnya sehingga menyebabkan banjir di kawasan-kawasan tertentu menyukarkan pergerakan jentera-jentera kempen. Yang lain semuanya masih berada dalam keadaan terkawal. Kelibat² anggota keselamatan di merata-rata walaupun agak mengganggu perjalanan jalanraya tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat bertindak segera apabila keadaan tidak dapat dikawal lagi. Ini adalah kawasan PANAS!

     

    Itu sahaja catatan permulaan saya dari bumi Permatang Pauh ini. Jumpa lagi dengan isi-isi yang akan saya bawa selepas ini. Perancangan saya esok saya akan terjah bilik gerakan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) bagi mendapatkan maklumat berkenaan dengan parti ini dan perjuangan mereka sekaligus. Semoga calon Saudara Hanafi Mamat tidak tenggelam di gelombang lautan Kem BN dan juga PR.

     

    Sekian. 

     

    ## Bulan Merdeka ini Tun Dr Mahathir tidak segembira bulan kemerdekaan tahun-tahun sebelumnya. Ikuti tulisannya dalam MERDEKA.

     

     

    AHLI KAJI MASYARAKAT

    Permulaan..

    Posted in Umum | No Comments

    Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh..

     

    Terima kasih kepada kalian yang sudi menjenguk blog ini. Setelah beberapa lama blog ini berada di dunia maya, maka pada saat inilah sebenarnya saya akan mula menulis berkaitan dengan apa yang saya cuba untuk perjuangkan.

     

    Saya bukanlah seorang pejuang yang berpengalaman. Saya masih lagi muda. Langkah saya baru sahaja bermula. Saya masih lagi memerlukan kekuatan daripada para sahabat dan pejuang² tulen di luar sana agar dapat kita sama² menjadi seorang pejuang yang benar² berjuang di dalam negara. Bukan demi wang mahupun pangkat. Tetapi demi melihat kesejahteraan negara terus terjamin.

     

    Negara Malaysia sudah lama merdeka. Darah² pendekar & pejuang negara yang melayang ketika itu telah lama kering. Tapi adakah negara tidak perlu lagi pejuang sebegitu? Adakah darah juang yang pernah mendidih suatu ketika dahulu dibiarkan dingin sebegitu sahaja? Itulah darah rakyat.

     

    Orang Melayu masih lagi memerlukan pejuang. Bukan untuk membunuh kaum lain. Tetapi adalah demi kekuatan Orang Melayu itu sendiri. Perpecahan yang melanda hari ini hampir pasti akan meninggalkan kesan yang sangat buruk kepada Orang Melayu suatu ketika nanti. Situasi yang dilihat hari ini memang ramai yang menganggap diri sebagai Hero dan pejuang Melayu. Tetapi adakah perjuangan mereka itu benar² akan memartabatkan lagi bangsa Melayu itu? Saya pun tidak berani menjawab soalan itu. Anda jawablah sendiri.

     

    Apa yang utama adalah - MELAYU PERLU BERSATU kembali.

     

    Demi AGAMA, BANGSA & TANAH AIR.

     

     

    AHLI KAJI MASYARAKAT

    Majlis Peguam Jangan ‘Main Api’

    Posted in Agama, Krisis | No Comments

    Oleh Hashnan Abdullah - Utusan Malaysia 6 Ogos

     

    PUTRAJAYA 5 Ogos – Majlis Peguam diberi amaran supaya tidak ‘bermain api’ dengan menganjurkan forum bertajuk Memeluk Islam pada hujung minggu ini yang disifatkan amat sensitif kepada umat Islam negara ini.

     

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menegaskan, forum yang dilaporkan akan turut menyentuh Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan itu boleh menyebabkan wujud salah faham di kalangan umat Islam sendiri.

     

    Beliau berkata, apa jua isu yang menyentuh Islam adalah perkara yang cukup sensitif kepada umat Islam.

     

    “Memang kerajaan menggalakkan kita membincangkan perkara yang mempunyai kesan kepada rakyat tetapi kalau ia boleh menimbulkan salah faham dan menyentuh perasaan kaum atau penganut agama lain, saya fikir ia perlu dielakkan.

     

    “Soal berkenaan agama adalah perkara yang cukup sensitif di negara ini. Jangan fikir dalam melaksanakan hak kita, orang lain tidak mempunyai hak,” kata Syed Hamid pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

     

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung dan Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

     

    Jumaat lalu, Majlis Peguam mengumumkan ia akan mengadakan satu forum pada 9 Ogos ini mengenai Islam yang akan turut menyentuh Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

     

    Forum bertajuk Memeluk Islam itu dijangka menyentuh peruntukan perlembagaan mengenai Islam yang menetapkan Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.

     

    Forum itu juga akan membincangkan keperluan untuk mengkaji semula beberapa kes berkaitan pertukaran agama di negara ini.

     

    Menurut Syed Hamid, sesuatu perbincangan, perbahasan atau perdebatan seharusnya bermatlamat untuk menyelesaikan masalah yang timbul tanpa mewujudkan salah faham.

     

    Malah, beliau sendiri tidak fikir sesuatu masalah akan selesai semata-mata dengan mengadakan perdebatan terbuka kerana masih ada kaedah lain untuk menyelesaikannya secara senyap.

     

    “Justeru, Majlis Peguam perlu menggunakan pendekatan bijaksana dan kewarasan kerana ia menjadi penentu kepada ketenteraman di negara ini,” ujarnya.

     

    Bagaimanapun ketika ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap penganjur forum itu, Menteri Dalam Negeri itu enggan membuat sebarang spekulasi mengenainya.

     

    “Buat masa ini, saya tidak tahu apa yang mereka hendak bincang, bagaimana bentuk forum itu dan siapakah yang terlibat,” katanya.

    Isu Muzakarah UMNO & PAS

    Posted in Artikel, Bersatu, Politik | No Comments

    BUKAN AGENDA POLITIK

    Utusan Malaysia 20 Julai 2008

     

    ISU mengenai muzakarah UMNO dan Pas timbul lagi. Segalanya bermula apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk duduk semeja berbincang dengan UMNO dalam soal memperjuangkan hak kepentingan Melayu dan umat Islam di negara ini.

     

    Kesediaan Pas itu semakin mendapat perhatian apabila Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa dalam soal Melayu dan Islam, UMNO bersedia bersama-sama berbincang dengan Pas.

     

    Tetapi persoalannya, apakah hasrat murni itu akan mencapai kejayaan? Adakah kali ini muzakarah berkenaan akan menjadi kenyataan atau ia sekali lagi hanya tinggal impian?

     

    Untuk menghuraikan semua persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR menemui dua pemimpin muda dalam UMNO dan Pas iaitu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.

     

    Dalam pertemuan berasingan di bangunan Parlimen, pada Khamis lalu, kedua-dua tokoh muda ini menyambut baik usaha untuk mengadakan muzakarah berkenaan.

     

    Bagi Hishammuddin dan Salahuddin, mereka sepakat bahawa muzakarah ini perlu diadakan dengan hati yang ikhlas tanpa sebarang syak wasangka termasuklah juga kononnya usaha tersebut dilakukan kerana UMNO semakin lemah.

     

    Jika Hishammuddin menegaskan bahawa ideologi politik bukan kekangan, Salahuddin pula berpendapat muzakarah berkenaan tidak harus memberi isyarat yang salah kepada rakyat bahawa akan berlaku perkongsian kuasa antara kedua-dua parti itu.

     

    Sebaliknya bagi mereka, apa yang penting dalam memperjuang dan mempertahankan orang Melayu serta umat Islam, UMNO dan Pas harus berada dalam satu barisan.

     

    Read the rest of this entry »

    Selamat Datang

    Posted in Umum | No Comments

    Selamat Datang kepada para pengunjung yang telah terhadir ke laman blog ini. Laman blog ini masih di dalam peringkat pembangunan. Semoga dengan kehadiran blog ini yang akan bersaing dengan lambakan laman² blog lain di dalam dan luar negara ini akan dapat memberikan sekelumit impak terhadap pementasan dunia yang bersifat sementara ini.

     

    Tidak dapat dipastikan lagi samada laman blog ini akan berfungsi seperti namanya iaitu demi Kempen Kita Mesti Bersatu. Satu usaha yang sememangnya untuk mencapai objektif memandangkan pelbagai ragam dan sifat manusia itu diciptakan. Namun diharapkan masih ada harapan untuk kita memuhasabahkan diri kembali dan menilai sejauh manakah kita telah berpecah dan sejauh mana yang kita benar² bersatu.

     

    Ahli Kaji Masyarakat

    RSS