Kerajaan Malaysia
Posted in Bersatu, Ekonomi, Krisis, Pemikiran, Politik | No Comments
Tagged Under : kerajaan malaysia, ketuanan melayu, Politik
Saya telah kembali ke tempat asal saya. Setelah beberapa ketika berada di Permatang Pauh untuk melihat sendiri proses demokrasi yang berjalan lancar di sana. Rakyat Permatang Pauh telah menjalankan kewajipan dan ‘menyuarakan’ keinginan mereka di atas kertas undi. Adalah diharapkan hari-hari selepas ini akan lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Kini saya akan kembali meneruskan kehidupan seperti biasa dan dalam masa yang sama terus menjalankan kewajipan sebagai seorang Ahli Kaji Masyarakat.
Saya adalah seorang yang agak optimis. Apa juga yang berlaku disekeliling akan saya tegakkan gelombang pemikiran positif terlebih dahulu. Tetapi dalam kupasan kali ini saya cuba untuk berlaku adil dan terpulang kepada anda untuk mengambil mana yang baik daripada penulisan saya ini.
Kerajaan. Setelah kerajaan British sudah tidak lagi berkuasa di Bumi Malaysia ini, ianya telah diambil alih oleh Kerajaan Perikatan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri. Negara telah diperintah oleh Parti yang sama sehingga kini yang kemudian telah diubah namanya menjadi Barisan Nasional. Suka-duka pahit getir seperti yang tercatat di atas sejarah pastinya diketahui umum yang peka dengan keadaan persekitaran dan isu-isu semasa.
Malaysia adalah negara yang paling lambat merdeka daripada penjajahan berbanding Indonesia, Thailand dan juga Filipina. Tetapi hari ini kelihatan ramai warga-warga negara tersebut berpusu-pusu masuk ke negara ini untuk mencari rezeki. Bahkan pendatang daripada Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan dan banyak lagi beria-ria untuk berada di Malaysia. Saya pun agak pelik dengan perkembangan ini.
Dengan itu wujudnya persoalan di hati ini kenapa ramai rakyat negara ini semakin beria-ria untuk menukar kerajaan ?
Pastilah anda semua mempunyai jawapan sendiri untuk soalan di atas. Jawapan yang paling mudah adalah semua ini berpunda daripada kelemahan dan penyelewengan pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Selain itu jawapan yang agak releven adalah UMNO adalah sebuah parti yang sudah tidak relevan lagi untuk memperjuangkan bangsa Melayu kerana telah gagal untuk menyatukan kembali orang Melayu sepertimana yang pernah berlaku sewaktu menuntut kemerdekaan suatu ketika dahulu.
Ditambah-tambah lagi dengan pelbagai pendedahan dan isu seperti politik perkauman, politik wang, rasuah di sana-sini, ketirisan pentadbiran, ketidak-cekapan pengurusan ekonomi dan sebagainya. Itulah sebab-sebab konkrit kenapa begitu ramai antara rakyat negara ini mahukan perubahan terhadap kerajaan Malaysia hari ini.
Tetapi perlu ditanyakan kembali kepada rakyat marhaen berkenaan. apakah yang mereka lebih inginkan daripada kerajaan baru yang mereka lantik kelak? Adakah jawapannya semata-mata kerana ingin menurunkan harga minyak, menurunkan segala-gala bentuk barangan keperluan harian, mengurangkan segala cukai, menghapuskan tol-tol, dan segala perkara yang terangkum dalam ‘membebankan rakyat’ ?
Rupa-rupanya Orang Melayu negara ini sanggup mengorbankan perkara yang lebih penting demi apa yang saya panggil ‘penjimatan’ itu. Iaitu Ketuanan Melayu. Mungkin ramai yang sudah terpengaruh bahawa Ketuanan Melayu sudah tidak lagi releven pada zaman penuh mencabar ini. Tetapi disebabkan Ketuanan Melayu inilah saya telah berjaya menjadi seorang graduan universiti. Begitu juga dengan saudara-mara saya, rakan-rakan saya, cikgu-cikgu saya, pensyarah-pensyarah saya, makcik-pakcik yang berjaya dalam keusahawanan, dan ramai lagi orang Melayu yang pernah dibantu oleh kerajaan.
Itu semua adalah hasil daripada Ketuanan Melayu. Peranannya melalui Dasar Ekonomi Baru. Yang merupakan signifikasi daripada Kontrak Sosial. Itulah segala-galanya yang terangkum menyebabkan Orang Melayu masih boleh bernafas di bumi Malaysia ini selama 51 tahun selepas Merdeka.
Melabel Ketuanan Melayu sebagai Ketuanan UMNO adalah tuduhan liar semata-mata demi kepentingan politik. Tetapi pada saya apa juga tuduhan orang kepada parti itu, saya tetap bersyukur kepada Allah S.W.T kerana pejuang-pejuang yang lahir daripada parti itu telah membuatkan saya berada pada kedudukan saya pada hari ini. Berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain.
Ketuanan Melayu ini bukannya bermakna orang Melayu bebas meminta yang lebih-lebih. Tetapi cukup sekadar orang Melayu mendapat apa hak yang sepatutnya mereka dapat sebagai penduduk asal tanah negara ini.
Ingatlah bahawa menukar kerajaan memang mampu membuatkan belanja bulanan kita ‘dijimatkan’. Tetapi ada perkara dan agenda tertentu yang perlu orang Melayu korbankan seperti Ketuanan Melayu itu sendiri. Diharapkan apa juga keinginan oleh rakyat-rakyat negara ini yang ingin mengubah kerajaan bakal mendatangkan hasil yang baik kepada mereka dan juga seluruh rakyat negara ini.
Pesanan saya berhati-hatilah terhadap agenda Komunis dan Zionis yang tidak pernah lekang dek panas, lapok dek hujan. Agenda mereka berterus-terusan berlegar-legar di seluruh muka bumi. Jangan sekali-kali kita lalai.
KITA MESTI BERSATU !!
AHLI KAJI MASYARAKAT




